Restoran Rakyat 1 Malaysia Terima Anugerah Kedai Harga Patut
Restoran Rakyat 1 Malaysia milik Koperasi UKHWAH telah menerima anugerah 'kedai Harga Patut' oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Restoran Rakyat 1 Malaysia merupakan salah satu cabang perniagaan Koperasi UKHWAH. Terletak di Medan Tuanku, Kuala Lumpur restoran ini telah pun beroperasi selama 1 tahun. Kini Koperasi UKHWAH melebarkan lagi sayap perniagaan ini dengan membuka cawangan restoran ini di Petaling Jaya, Selangor dan Taiping, Perak. ‘Harga yang berpatutan’ merupakan elemen utama restoran ini dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada para pelanggan.
Berpegang kepada elemen ini, baru-baru ini Restoran Rakyat 1 Malaysia telah menerima anugerah ‘Kedai Harga Patut’ dari Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK).
Majlis penganugerahan ini telah berlangsung di Grand Ballroom, Hotel Lagend, Kuala Lumpur pada 6 Disember 2010 lalu. Sijil dan trofi anugerah telah disampaikan oleh Menteri Perdagangan Dalam Negeri Koperasi dan Kepenggunaan, Y.B Dato’ Sri Ismail Sabri Bin Yaakob kepada Y.Bhg Datuk Rahim Baba, YDP Koperasi UKHWAH.
Menurut pihak penganjur iaitu KPDNKK, Anugerah Kedai Harga Patut (AKHP) ini telah diperkenalkan buat pertama kali pada tahun 2003. Pada tahun ini, sebanyak 20 kategori premis perniagaan telah dipertandingkan dan sebanyak 2,550 penyertaan telah diterima tetapi hanya 441 buah premis sahaja yang layak. Manakala anugerah yang diterima oleh Restoran Rakyat 1 Malaysia pula merupakan anugerah khas yang dipilih oleh pihak juri mengikut kriteria-kriteria yang diambil kira seperti harga barangan yang dijual, kualiti perkhidmatan, suasana/persekitaran premis perniagaan dan peragaan barangan.
Semoga Restoran Rakyat 1 Malaysia mengekalkan elemen ini dalam menyediakan perkhidmatan yang terbaik kepada pelanggan pada masa akan datang.



del.icio.us
Digg